Friday, February 10, 2012

Solat

Ada orang boleh rasa semakin dekat dengan Allah dan rasa tenang selepas sembahyang. Dalam doa, berjujuran air mata cinta kepada Allah. Solat malam terasa sangat mengasyikkan. Sayangnya, diri ini jauh dari tahap itu. Solat kerana satu kewajipan. Tidak menambah iman, dan tidak mendatangkan ketenangan. Mungkin antara sebabnya:
- solat di buat cepat2 - dalam masa 5 min dah selesai
- solat di buat pada waktu yang tersisa - cthnya, lagi 5 min nak habis break time
- tak paham ungkapan2 dalam solat - hanya dihafal dan dibaca cepat2

dan lain2 sbb yang lebih bersifat "konsep" seperti tak faham kenapa solat dsb.
Kalau dapat kita improvekan 3 perkara di atas, insyaAllah mudah-mudahan solat kita akan rs lebih bermakna. Yelah, kita solat sbb kalau tak solat dosa besar. Tapi kalau solat tapi lalai pun Allah kata masuk neraka Wail (na'uzubillahiminzalik). Untuk mengatasi 3 perkara di atas, kita cuba
- solat biar lama sikit dari yang selalunya (dan ini secara logiknya akan berlaku jika kita cuba menghayati bacaan2 dalam solat kita, bukan sekadar membaca)
- solat pada waktu yang berkualiti, yang membolehkan kita solat lebih lama
- dan ini yang paling penting, mari kita HAFAL MAKNA bacaan2 dalam solat (bagi yg x speak Arabic mcm sy), dan cuba ingat balik makna bacaan2 tersebut ketika kita membacanya dalam solat. Rakan saya (orang putih masuk Islam) ada bercerita, dia baru masuk Islam, dia baru hafal bacaan2 dalam Solat (Arabic) dan dia juga MENGHAFAL makna tersebut, dan dalam setiap 2 minggu dia akan check/MENGHAFAL SEMULA, utk memastikan dia sentiasa ingat makna bacaan2 solat itu, MasyaAllah. Kita pun kena jadi macam dia walaupun kita dah hafal bacaan Arabic itu dari sekolah rendah lagi.

Makna bacaan dalam solat. Mari kita menghafalnya. Mudahan2an Allah lebih sayang pada kita dengan usaha kita yang kecil tapi bermakna ini. Amin

Takbiratul-Ihram & Takbir:
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah:
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
ibadatku,
hidupku,
matiku
adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah:
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk:
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk:
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal:
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud:
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud:
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya
Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya
Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke
atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut:
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang
berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yg tlh Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan
sahabat-sahabatnya.

No comments:

Post a Comment